Powered By Blogger

Tuesday, 29 May 2012

HOBA METEROID


Meteorite terbesar pernah direkodkan mendarat di Hoba, Namibia, Afrika sekitar 80,000 tahun lampau dan dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 200 juta tahun. Meteorite ini mengandungi unsur-unsur yang tidak terdapat di Bumi kita. Sempena dengan nama tempat pendaratannya, Meteorite Hoba awalnya ditemui oleh seorang petani bernama Jacobus Hermanus Brits pada tahun 1920. Ketika beliau mengerjakan ladang di belakang rumah, tiba-tiba bajaknya terkena sesuatu benda keras seperti besi. Menyedari keanehan benda tersebut, Brits menggalinya dan mendapati seketul meteorite seberat 60 tan tertanam kukuh di dalam tanah.

            Bukan sahaja sebagai meteorite terbesar, Meteorite Hoba juga merupakan ketulan besi paling besar sekali terdapat di permukaan bumi. Ia mengandungi 82.4% besi, 16.4% nikel, 0.76% kobalt dan 0.04% phosphorus. Ini bermakna secara saintifiknya ia juga digelar sebagai 'nikel-rich ataxite'. Selain itu, ia juga dikesan mengandungi mineral asing seperti Triolite. Meteorite Hoba bersaiz 9 kaki 8 inci panjang dengan kelebaran 9 kaki 4 inci. Ketebalannya pula ialah 2 kaki 5 inci ke 3 kaki 11 inci.

            Kehadiran Meteorite Hoba terus meninggalkan misteri kerana kesan hentamannya tidak menimbulkan kawah di permukaan tanah. Saintis masih bingung bagaimana perkara sedemikian boleh terjadi. Ada teori mengandaikan bentuk meteorite ini menyebabkan kelajuannya berkurangan ketika memasuki atmosfera bumi lalu terhempas seperti sekeping batu pipih jatuh ke permukaan air.

            Meteorite Hoba telah diisytiharkan sebagai monumen negara oleh kerajaan South West Africa pada tahun 1955. Pada tahun 1985 pula, syarikat Rossing Uranium telah memberi sumbangan kepada kerajaan Namibia bagi melaksanakan langkah-langkah mencegah vandalisme ke atas meteorite ini. Tahun 1987, pemilik ladang telah menderma tapak tanah ladangnya kepada kerajaan untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan. Hingga ke hari ini, Meteorite Hoba terus dikunjungi pelawat-pelawat dari serata dunia.




METEOROID



Meteoroid adalah objek semulajadi yang berasal dari angkasa lepas yang jatuh dan menghentam permukaan bumi. Di angkasa lepas, meteorite dinamakan sebagai meteoroid dan apabila ia masuk ke dalam atmosfera bumi, geseran dengan udara akan menyebabkan meteoroid terbakar dan mengeluarkan cahaya seperti batu berapi dan dinamakan sebagai meteor atau tahi bintang.

             Sebaik sahaja meteor menghentam bumi, ia dinamakan sebagai meteorite. Meteorite juga dijumpai dengan banyaknya di permukaan bulan dan planet Marikh. Di permukaan bumi kita pada hari ini, terdapat lebih 31,000 spesimen meteorite yang didokumentasikan dengan kira-kira 1,050 spesimen meteorite pernah disaksikan jatuh telah disimpan di dalam koleksi di serata dunia.

            Meteorite sering dinamakan dengan nama tempat dimana ia jatuh dan biasanya nama meteorite diberikan dengan nama bandar, pekan, kampung ataupun lokasi geografi. Ada juga kes dimana banyak meteorite jatuh pada satu tempat maka namanya akan mempunyai gabungan huruf dan nombor contohnya Allan Hills 84001 atau Dimmit (b). Sesetengah meteorite mempunyai nama gelaran yang tidak formal sebagai contohnya meteorite Sylacauga juga dikenali sebagai "Hodges meteorite" selepas seorang wanita bernama Ann Hodges terkena serpihan meteorite ini.

            Meteorite Sylacauga yang membentuk kawah di Ngarai (Canyon) Diablo sering digelar dengan nama gelaran ini. Namun demikian, nama gelaran ini tidak digunakan sebagai nama rasmi oleh Meteoritical Society (Kesatuan Meteoritikal) serta saintis.  Meteorite secara tradisionalnya dibahagi kepada tiga kumpulan besar, meteorite batu (terhasil daripada batuan dengan mineral silika), meteorite besi (terhasil daripada besi-nikel metalik), dan meteorite gabungan besi-batuan. Pengkelasan moden pula membahagikan kumpulan meteorite mengikut struktur, komposisi kimia dan isotopik, dan mineralogi.   

            Hampir 86% meteorite yang dijumpai di bumi ini adalah chondrite kerana partikel yang kecil dan bulat yang dimiliki oleh meteorite tersebut. Partikel ini (juga dikenali sebagai chondrule) terdiri daripada mineral silika yang mencair ketika ia berada di angkasa lepas. Chondrite juga mengandungi sejumlah kecil bahan organik termasuk asid amino dan butiran prasolar (presolar grain) yang mengandungi partikel unsur termasuk karbon, silika, logam ringan dan lain-lain. Chondrite secara tipikalnya dianggarkan berusia lebih 4.55 bilion tahun yang merupakan material yang mewakili lingkaran asteroid di angkasa lepas yang tidak membentuk suatu badan yang besar. Seperti komet, asteroid chondritic merupakan diantara material yang paling primitif di dalam sistem solar kita ini. Chondrite sering kali dianggap sebagai blok binaan (building block) bagi sesebuah planet.

            Kira-kira 8% meteorite yang jatuh ke permukaan bumi adalah achondrite, sesetengahnya mempunyai sifat yang sama dengan batuan igneus mafic (batu yang kaya dengan silika atau gabungan besi-magnesium). Kebanyakan anchorite juga merupakan batuan purba, yang mewakili material daripada asteroid. Satu keluarga besar anchondrite (yang dikenali sebagai meteorite HED) berkemungkinan besar berasal daripada asteroid 4 Vesta (asteroid kedua terbesar di dalam lingkaran asteroid). Terdapat juga kumpulan lain yang dijumpai dari asteroid yang berbeza.

            Disamping itu juga, terdapat dua kumpulan kecil anchondrite yang istimewa, kerana mereka lebih muda dan tidak berasal dari lingkaran asteroid. Satu kumpulan berasal dari bulan (yang dibawa balik dari misi Apollo dan Luna) dan satu kumpulan lagi berasal dari planet lain.  Meteorite besi dengan aloi besi-nikel yang terbentuk di bahagian dalam meteorite ini mewakili 5% dari jumlah keseluruhan meteorite yang jatuh ke bumi. Kebanyakan meteorite besi seperti kamacite dan taenite berasal dari teras sejumlah asteroid yang pernah mencair.

             Ketika di bumi, logam yang lebih tumpat terpisah daripada material silika dan tenggelam ke bahagian tengah asteroid lalu membentuk teras. Namun demikian, ia akan hancur akibat daripada perlanggaran dengan asteroid lain. Meteorite besi-batuan hanya mewakili 1% daripada jumlah keseluruhan meteorite yang jatuh ke bumi. Meteorite ini terhasil daripada campuran besi-nikel dan mineral silika. Satu jenis yang dipanggil pallasite, dikatakan berasal daripada zon sempadan di atas teras dimana meteorite besi berasal. Satu lagi jenis meteorite besi-batuan ialah mesosiderite.